SDAC-Ford Lancarkan Platform e-Dagang ‘Beli-Belah’ Baharu dengan Laman Web Yang Dikemaskini
  • Laman web yang dikemaskini dengan kemudahan e-Dagang merupakan sebahagian daripada strategi pendigitalan berterusan dan komitmen SDAC-Ford dalam mempertingkatkan pengalaman digital pelanggan.

  • Untuk platform baharu ‘Beli-Belah’ terdapat kategori ‘Beli Kenderaan’ dan juga ‘Beli Barangan’ di mana laman ‘Beli Barangan’ menyediakan servis e-Dagang bagi pelanggan mendapatkan barangan Ford dalam masa nyata.

  • Inisiatif pendigitalan Ford sebelum ini termasuklah pengelanan Jurujual Digital Ford melalui WhatsApp, perkhidmatan Penghantaran Kenderaan Pandu Uji Ke Rumah atau Pejabat dan kemudahan aplikasi Tempahan Janji Temu e-Servis Ford.


KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 Januari 2021 – Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, hari ini memperkenalkan laman web baharu dan bertambah baik dengan penampilan platform ‘Beli-Belah’ baharu sebagai usaha pendigitalan untuk mempertingkatkan pengalaman digital pelanggan.

Laman web ini dikemaskini dengan rekabentuk yang lebih segar menjadikannya lebih mesra pengguna dan mudah dilayari. Platform ‘Beli-Belah’ akan menampilkan kategori ‘Beli Kenderaan’ dan ‘Beli Barangan’ di mana platform ‘Beli Barangan’ menyediakan servis e-Dagang sepenuhnya agar pelanggan dapat membeli Barangan Ford yang digemari dalam masa nyata.

“Laman web yang dikemaskini dengan penampilan platform ‘Beli-Belah’ merupakan salah satu langkah kami mengikuti perkembangan trend pengguna dalam menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah dan sesuai. Kami sentiasa berkembang agar dapat memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami dan kami akan terus mendigitalkan proses urusan pelanggan dan pemilikan,” ujar Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion.

Muzri turut menambah, “Kami mengalukan-alukan anda semua untuk melayari shop.sdacford.com.my untuk melihat barisan kenderaan Ranger yang ditawarkan, atau mendapatkan Barangan Ford untuk anda miliki.”

Bilik Pameran Maya Di Hujung Jari Anda
Ciri ‘Beli Kenderaan’ yang ditampilkan di dalam laman web yang dikemaskini ini bukan sahaja membolehkan pelanggan melihat kesemua barisan Ford Ranger dalam satu laman dan membuat perbandingan tawaran, malahan pelanggan juga dibantu untuk memahami pembiayaan pinjaman menggunakan kalkulator pinjaman.

Bagi membantu mereka membuat pertimbangan dan keputusan pembelian, pelanggan boleh menonton video tinjau keliling produk dan juga video ulasan daripada pakar dan wartawan permotoran. Selain itu, perbualan melalui WhatsApp dengan Jurujual Digital Ford membolehkan pelanggan dihubungkan dengan jurujual Ford yang berdekatan bagi urusan pembelian.

Menempah sesi pandu uji juga semakin mudah dengan adanya pilihan penghantaran kenderaan pandu uji ke rumah atau pejabat yang boleh dibuat melalui laman web atau menghubungi Jurujual Digital Ford melalui WhatsApp.

Pelanggan juga boleh mendapatkan sebut harga insurans untuk Pakej Insurans SDAC Motor daripada panel insurans dilantik, dengan kadar segera.

Miliki Barangan Eksklusif Ford Tanpa Keluar Dari Rumah
Buat pertama kalinya pelanggan boleh melihat dan membeli Barangan Ford melalui laman ‘Beli Barangan’. Laman e-Dagang ini membolehkan pembelian dilakukan di laman web dan barangan akan dihantar terus ke rumah. Penghantaran adalah percuma dan hanya untuk tempahan yang dibuat di dalam Malaysia.

Untuk memberikan lebih pilihan dan kemudahan kepada pelanggan, platform ‘Beli Barangan’ menawarkan pelbagai pilihan bayaran e-Dompet termasuk Boost, Touch ‘n Go, GrabPay, ShopeePay dan Maybank QRPay.

Laman tersebut juga menyediakan kemudahan pengesan tempahan supaya pelanggan dapat memantau status tempahan selepas membuat pembelian.

SDAC-Ford juga memperkenalkan Kedai Facebook untuk menjual Barangan Ford kepada pengikutnya. Pengikut akan dihubungkan ke pautan ‘Beli Barangan’ untuk urusan transaksi.

Melangkah Lebih Jauh Dengan Pendigitalan Untuk Pelanggan
Platform e-Dagang dalam laman web yang diberi nafas baharu ini selaras dengan usaha berterusan SDAC-Ford ke arah pendigitalan bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan memudahkan pengguna berhubung dengan Ford.

Pada awal tahun lalu, SDAC-Ford memperkenalkan talian Jurujual Digital Ford yang menghubungkan pelanggan terus dengan jurujual Ford secara langsung untuk menjawab segala pertanyaan berkaitan pembelian kenderaan.

Selain itu, pilihan Penghantaran Kenderaan Pandu Uji Ke Rumah atau Pejabat membolehkan kenderaan pandu uji dihantar kepada pelanggan tanpa perlu datang ke bilik pameran. Sekiranya lokasi pelanggan berada dalam lingkungan 10km radius dari pengedar yang dipilih, pelanggan boleh membuat tempahan sama ada melalui laman web SDAC-Ford, menghubungi Jurujual Digital Ford, atau terus menghubungi pengedar Ford yang berdaftar.

Terbaharu, SDAC-Ford juga memperkenalkan Tempahan Janji Temu e-Servis Secara Masa Nyata di laman webnya. Tempahan atas talian yang mudah ini membolehkan pelanggan mengetahui slot-slot servis yang ada dan mengesahkan janji temu servis. Kemudahan ini terdapat di tujuh Pusat Servis Ford yang berdaftar, dan dijangka akan diperluaskan ke semua 43 Pusat Servis di seluruh negara.
Select Language
Ooops!
Generic Popup