Ford Anjur Bengkel Driving Skills for Life yang Pertama di Sabah untuk Galak Sikap Pemanduan Berhemah
KOTA KINABALU, Malaysia, 04 Disember 2019 - Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan sikap pemanduan berhemah dan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Malaysia, Ford dan pengedar tunggalnya, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), baru – baru ini melancarkan program latihan pemandu berhemah kebanggaan Ford, Driving Skills for Life (DSFL) untuk julung kalinya di Sabah, Malaysia.

Lebih daripada 80 pelanggan Ford serta orang ramai mengambil bahagian dalam bengkel separuh hari itu yang meliputi sesi teori dan praktikal. Sejumlah empat sesi dijalankan pada hujung minggu 16 -17 November yang lalu.

Bengkel tersebut dianjurkan bersempena dengan acara ‘Carlist.my DRIVE: Off-road Edition 2019’ bagi membolehkan orang ramai mengetahui tentang program DSFL dan menimba pengetahuan tentang pemanduan selamat. Sesi teori dan praktikal dijalankan di dua tempat berasingan, masing-masing di SDAC Cawangan Kota Kinabalu dan juga di Stadium Likas.

Dijalankan secara percuma, program DSFL ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya, dan membantu mengurangkan kemalangan maut dan kecederaan, dengan cara mendidik para pemandu tentang kemahiran dan teknik yang diperlukan untuk memandu dengan lebih selamat.

Malaysia mencatatkan kadar pemilikan kenderaan tertinggi di rantau ini. [1] Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah kenderaan yang lebih rendah, tetapi kadar kemalangan maut semakin meningkat, dan antara punca utama ialah pengguna gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya. [2]

“Kami di Ford dan SDAC komited dalam memastikan warga Malaysia bersedia dengan pengetahuan tentang pemanduan selamat, dan atas sebab itu kami memutuskan untuk membawa program ini ke Sabah dan Sarawak,“ ujar Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion. Program DSFL Ford membekalkan pemandu dengan pengetahuan agar mampu memahami beberapa senario di luar jangkaan yang boleh berlaku di atas jalan raya, Di samping itu, ia melengkapkan para pemandu dengan pengetahuan sewajarnya untuk mengatasi situasi bahaya yang mungkin terjadi.”

Bengkel tersebut merangkumi pelbagai risiko yang dihadapi oleh pemandu dan latihan difokuskan kepada empat bahagain penting:
  • Gangguan – Membuat keputusan bijak semasa memandu untuk menghadkan gangguan dan sentiasa fokus dalam pemanduan.
  • Mengenali situasi bahaya – Bagaimana untuk mengenali potensi bahaya di persimpangan dan zon-zon selamat.
  • Pengurusan had laju dan jarak – Belajar bagaimana untuk menyesuaikan had laju dan jarak sekeliling, di hadapan dan belakang sambil mengelak dari dilanggar.
  • Kawalan kenderaan – Memahami kemampuan kenderaan dan belajar untuk mengawal kenderaan dengan lebih baik dengan mengoptimumkan ciri ciri keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Parkir Separa Selari (SAPP), Amaran Perlanggaran Hadapan dan Amaran Keluar Lorong.

Kemalangan akibat kebolehan pemanduan yang terganggu selepas pengambilan minuman beralkohol dan ubat-ubatan turut diterapkan di dalam program tersebut. Ini dicapai melalui pemakaian cermin mata khusus yang memberikan peserta pengalaman memandu dengan daya penglihatan, pergerakan dan koordinasi yang terganggu.

Angka terbaharu yang diberikan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa lebih kurang 1.35 juta orang maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, manakala antara 20 hingga 50 juta yang lain menderita akibat kecederaan yang mengakibatkan ketidakupayaan. [3]. Amat membimbangkan apabila statistik dari WHO menunjukkan bahawa kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekarang ini adalah punca utama kematian di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia di antara 5-29 tahun.

Selepas 16 tahun diwujudkan, Driving Skills for Life oleh Ford telah memberikan latihan percuma kepada lebih daripada sejuta pemandu-pemandu baharu di 40 buah negara, yang melibatkan pelaburan melebihi $50 juta. Ia juga menyerlahkan komitmen Ford dalam menggalakkan keselamatan jalan raya.
 
Select Language
Ooops!
Generic Popup