Ford Meneruskan Program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat di Malaysia, Dan Memperluaskannya kepada Rakan-rakan Korporat
  • Para pemandu di Malaysia akan menerima latihan di dalam bilik darjah dan praktikal secara percuma, sebagai sebahagian daripada kempen Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat (DSFL) Ford
  • DSFL merupakan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) utama Ford yang dibiayai oleh Ford Motor Company Fund – satu badan bantuan di bawah Ford Motor Company

KUALA LUMPUR, Malaysia, 5 Oktober 2018 – Ford dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) sekali lagi menganjurkan program latihan pemanduan selamat melibatkan rakan korporat dan orang awam menerusi program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat (DSFL) Global Ford.

Sesi latihan tersebut diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), melibatkan lebih 50 orang pemandu berlesen. Ia juga turut disertai oleh rakan-rakan korporat, dan mereka yang mengambil bahagian dalam bengkel tersebut.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), hampir 81 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia adalah disebabkan oleh kesilapan pemandu seperti pengurusan kelajuan yang tidak betul dan cuai ketika memandu.

Justeru, program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat Ford bertujuan mendidik pemandu berlesen dari semua peringkat umur tentang bagaimana untuk memandu dengan lebih selamat, melalui sesi latihan praktikal secara bersemuka yang ditawarkan secara percuma. Ini akan membantu mereka menjadi pemandu yang lebih selamat dan peka.

Bengkel DSFL mendedahkan pelbagai risiko yang perlu dihadapi oleh pemandu seperti situasi yang tidak dijangka, kelajuan dan pengurusan ruang. Di samping itu juga, ia berhasrat meningkatkan kesedaran tentang kecuaian pemandu akibat penggunaan telefon bimbit atau rasa mengantuk ketika memandu.

Tip-tip keselamatan keluarga, seperti memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul, serta tip-tip pemanduan selamat buat bakal ibu, turut dikongsi di dalam sesi pratikal dan kelas tersebut.

“Keselamatan jalan raya merupakan satu isu yang serius serta menjadi keutamaan bagi kami di Ford dan SDAC. Selain memastikan kenderaan kami sentiasa mematuhi dan melepasi standard keselamatan, kami juga merasakan bahawa sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif kesedaran tentang keselamatan kepada orang awam.

“Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada program ini dan terus membantu mengukuhkan amalan pemanduan yang selamat di kalangan pemandu Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

Penekanan terhadap pemanduan di bawah pengaruh minuman keras atau ubat juga turut disertakan dalam setiap sesi latihan. Ini termasuklah dengan meminta peserta memakai pelindung mata khas bagi membantu mensimulasikan pengalaman memandu ketika pergerakan, koordinasi dan kepekaan terganggu.

Tahun ini sahaja, bengkel latihan keselamatan DSFL telah berjaya melatih lebih 100 orang pemandu, melalui bengkel-bengkel yang diadakan sejak Ogos lalu. Para peserta terdiri daripada pemandu muda yang tidak berpengalaman dan pemandu profesional dari pelbagai syarikat swasta.

Select Language
Ooops!
Generic Popup