Ford Memperkenalkan Ranger Raptor Yang Pertama; Trak Pikap Off-Road yang Padat dengan DNA ‘Built Ford Tough’ dan Ford Performance
  • Menetapkan penanda aras baru bagi keupayaan trak pikap off-road, Ranger Raptor telah direka untuk menggabungkan DNA Ford Performance bersama dengan kekuatan dan keupayaan kejuruteraan terkenal model Ranger
  • Ranger Raptor didatangkan dengan penyerap kejutan Fox Racing Shox secara standard di hadapan dan belakang bagi membantu pemanduan off-road pada kelajuan tinggi di samping menawarkan ketinggian pemanduan yang lebih tinggi, trek yang lebih lebar dan sudut pendekatan dan perlepasan yang lebih baik bagi memastikan keupayaan dan kestabilan off-road yang ekstrem
  • Suspensi belakang Watt’s linkage serba-baru yang berinovasi bersama spring gegelung belakang membantu memastikan kestabilan lateral gandar belakang ketika off-road di samping menambah baik pemanduan dan pengendalian\
  • Kombinasi enjin diesel 2.0-liter Bi-Turbo dan transmisi 10-kelajuan mempunyai daya ketahanan yang terbukti menerusi ujian meluas, menawarkan tork dan kuasa dengan lancar menerusi dua turbo berasingan dan nisbah gear yang lebih dekat merentasi jangka keseluruhan yang lebih panjang
  • Ranger Raptor telah diuji di dalam keadaan-keadaan paling mencabar dunia bagi memastikan pakej off-road yang tiada tandingan ditawarkan untuk mengejut dan mengujakan para pemandu

KUALA LUMPUR, Malaysia, 08 Februari 2018 – Ranger Raptor yang pertama, trak pikap off-road berprestasi tinggi terbaru Ford, telah memandu keluar dari sebalik penyamarannya di acara pemaparan model tersebut di Thailand hari ini.

Model Ranger paling hebat tersebut telah direka, dibina dan diuji khusus bagi menetapkan penanda aras sebagai satu-satunya trak berprestasi tinggi terus-dari-kilang di seluruh Asia Tenggara. Direka oleh pasukan Ford Performance untuk penggemar pemanduan off-road sebenar, Ford Ranger Raptor mengukuhkan komitmen Ford untuk menawarkan trak-trak pikap “Built Ford Tough” kepada para pelanggan di Asia Pasifik.

“Kami berasa amat teruja dan bangga untuk mempersembahkan kenderaan ini kepada orang ramai; memandunya betul-betul membuatkan anda berasa bagaikan seorang wira,” kata Jamal Hameedi, Ketua Jurutera, Ford Performance. “Pasukan Ford Performance berasa teruja untuk mendermakan nama Raptor dari model off-road berprestasi tinggi perdana kami, F-150 kepada model Ranger. Sama seperti F-150 Raptor, Ranger Raptor dibina berasaskan keupayaan teras rangkaian kenderaan asalnya dan mempamerkan penampilan DNA Ford Performance yang tidak dapat disangkal.”


Rekaan Berani
Ranger Raptor mengetengahkan ciri-ciri rekaan unik di luar dan dalam, yang didorong oleh pelbagai fungsi.

Di bahagian hadapan, jeriji baru yang menakjubkan mengambil inspirasi dari trak off-road berprestasi tinggi terus-dari-kilang pertama dunia, F-150 Raptor. Blok perkataan FORD ikonik yang dipaparkan dengan bangganya ditengah-tengah rekaan jeriji tidak dapat disangkal apabila ia memandu keluar dari kepulan awan debu. Sebuah sistem bumper hadapan yang dipasangkan pada bingkai direka bagi menawarkan prestasi ketahanan padang pasir dan kehadiran yang unik. Bumper hadapan juga didatangkan dengan lampu kabus LED baru berserta saluran tirai udara berfungsi, yang membantu mengurangkan rintangan angin pada badan kenderaan.

Menggunakan bahan-bahan komposit, fender hadapan bukan sahaja kelihatan kuat, malah ia menentang lekukan yang sering dikaitkan dengan penggunaan off-road. Bentuk fender yang kembang diperlukan bagi perjalanan suspensi yang panjang dan tayar yang besar. Palet warna luaran yang ditawarkan adalah Lightning Blue, Race Red, Shadow Black, Frozen White, dan juga warna Wira bagi Ranger Raptor iaitu Conquer Grey. Kontras Dyno Grey yang berbeza membantu menyerlahkan lagi rupa kenderaan tersebut.

Kenderaan tersebut adalah lebih besar dari setiap sudut, dengan ketinggian 1873mm, 2180mm lebar dan 5398mm panjang, di samping trek hadapan dan belakang yang lebih lebar pada 1710mm. Perlepasan tanah telah dipertingkatkan kepada 283mm, manakala sudut pendekatan sebanyak 32.5, sudut jangkauan sebanyak 24, dan sudut perlepasan sebanyak 24 dalam satu pakej adalah jauh lebih unggul dari sebelumnya.

Bermula dari bahagian bawah, pemijak kaki sisi merupakan yang terbaik dalam kelasnya. Papan-papan pemijak telah direka khas untuk menghalang semburan batu dari mengenai bahagian belakang trak manakala lubang-lubangnya telah direka untuk menyalir keluar pasir, lumpur dan salji. Papan pemijak utama yang direka dari aloi aluminium die-cast kekuatan tinggi telah direka untuk ketahanan, dimana ia telah diuji untuk menampung beban seberat 100kg berulangan sebanyak 84,000 kali bagi mensimulasikan penggunaan menjangkau lebih 10 tahun. Sebuah proses penyalutan dua-peringkat digunakan, di mana papan pemijak utama disalut powder coat, sebelum ia dikenakan cat grit tahan lasak yang menghasilkan rupa lasak yang juga sangat tahan lama – tahan goresan, calaran, kesan kotor dan juga cuaca.

Di bahagian belakang, bumper belakang yang telah diubah suai didatangkan dengan bar penunda berintegrasi dan dua cangkuk penyelamat dengan kekuatan sebanyak 3.8 tan. Rekaan belakang yang dikemas-kini disertakan dengan bezel sensor yang dipasang rapi dan sambungan tundaan yang dipakej dan digaya khas. Menawarkan ruang yang luas, dulang 1560mm x 1743mm telah direka khas bagi para peneroka hujung minggu, manakala kapasiti tundaan sebanyak 2500kg turut mengambil kira dirt-bike atau ski jet, di samping keperluan kerja-kerja seharian sepanjang minggu.

Di bahagian dalam, Ranger Raptor menawarkan rekaan dalaman Ford Performance dengan tahap pertukangan yang tinggi, warna-warni yang penuh harmoni dan bahan-bahan tahan lama yang sesuai untuk pemanduan off-road dan juga seharian. Tempat-tempat duduk direka khas untuk sokongan pemanduan off-road berkelajuan dan berprestasi tinggi, membolehkan pemandu menyelami pengendalian yang bersemangat, di samping menawarkan keselesaan pemanduan yang unggul. Penggunaan suede teknikal di tempat-tempat duduk untuk cengkaman tambahan penumpang mengetengahkan praktikaliti di sebalik pilihan bahan.

Beberapa acara pemanduan jarak jauh telah dilakukan bagi mengukur prestasi tempat-tempat duduk merentasi tempoh masa yang panjang, di lebuhraya dan juga trek-trek off-road bagi mensimulasikan penggunaan para pembeli. Kusyen dwi-kekerasaan menawarkan sokongan lateral yang unggul dan mengurangkan sebarang rasa gegaran casis. Ini berjaya dicapai menerusi struktur yang telah diubah suai, menggunakan kusyen gulung di bahagian belakang tempat duduk untuk sokongan yang lebih baik.

Apabila berada di tempat duduk pemandu, para pemandu Ranger Raptor akan melihat perbezaan dalam butiran kokpit, termasuklah tenunan biru dan aksen-aksen kulit. Kluster meternya mempunyai rekaan yang agresif, dan merangkumi beberapa ciri-ciri Driver Assist. Roda stereng adalah jauh berbeza; pedal penukar gear magnesium ringan baru dengan DNA Raptor bagi penukaran gear lebih pantas mudah dicapai berdekatan dengan bahagian pemegang bersalut kulit berliang di roda stereng bagi penukaran gear off-road yang tepat apabila anda memerlukannya.

DNA Ford Performance telah memainkan peranan yang besar dalam rekaan penuh fungsi ini, termasuklah tanda ‘On-centre’ – sebuah jalur merah di pertengahan bahagian atas roda stereng agar anda sedia maklum di mana kedudukan tengah apabila anda mengendalikan kenderaan tersebut pada kelajuan tinggi. Roda stereng turut dikemaskan dengan logo debos Raptor pada bezel jejari.


Casis, Brek dan Suspensi
Rangka casis Ranger Raptor merupakan rangka unik baru yang direka khas bagi membolehkan kenderaan tersebut dipandu pada kelajuan tinggi ketika off-road dan menahan keadaan mencabar perlumbaan off-road.

Suspensi gegelung belakang berinovasi Ranger Raptor yang baru menggunakan Watt’s linkage dengan gandar belakang pejal bagi menawarkan kawalan lateral off-road yang unggul disamping membantu menambah-baik pemanduan dan pengendalian.

Rekaan rangka tersebut menyertakan geometri baru bagi suspensi besar tersebut, menawarkan DNA Raptor dalam bentuk perjalanan roda dan trek yang dipertingkatkan. Dibina untuk menahan keadaan off-road dengan impak yang tinggi, rangka Ranger Raptor terdiri daripada besi high-strength low-alloy (HSLA) dengan berlainan gred. Rel sisi yang telah ditegarkan diperbuat dari besi gred HSLA yang dipertingkatkan bagi menyerap impak-impak off-road pada kelajuan tinggi.

Bahagian depan menampung penyerap kejutan tertonjol yang telah diperkuatkan, manakala suspensi gegelung belakang khas yang baru bersama dengan Watt’s linkage membolehkan gandar untuk bebas bergerak ke atas dan bawah dengan pergerakan lateral yang minima. Dua cangkuk penyelamat dengan kekuatan sebanyak 4.5 tan boleh didapati di bahagian hadapan, di samping pemasangan cross-member tayar ganti yang telah diperkukuh bagi rim Raptor 17-inci yang lebih besar.

Sistem brek pada Ranger Raptor menawarkan kuasa pemberhentian yang ekstrem menerusi komponen-komponen baru yang direka khas. Di hadapan, diameter kaliper piston berkembar telah dipertingkatkan sebanyak 9.5mm, manakala saiz cakera berliang adalah 332 x 32mm. Di belakang, Ranger Raptor didatangkan dengan cakera brek bersama booster dan silinder utama pendorongan brek bagi meningkatkan prestasi pembrekan. Cakera belakang berliang sebesar 332 x 24mm digabungkan dengan kaliper 54mm yang baru.

“Pengalaman paling menyerlah Ranger Raptor sudah tentunya bagaimana anda boleh memandunya ketika off-road berbanding kenderaan produksi jalanan yang terdapat di dalam pasaran-pasaran kita, dan masih berasa mewah serta bergaya ketika di atas jalanan,” kata Damien Ross, Ketua Jurutera Program, Ranger Raptor, Ford Motor Company.

“Segalanya mengenai Ranger Raptor dibina berdasarkan rasa penuh kecanggihan dan keupayaan penuh fungsi Ranger, dan membawanya selangkah lebih jauh. Dari segi keseronakan memandu, ia memang sebuah kenderaan yang sangat istimewa.”

Suspensi berinspirasikan perlumbaan Raptor telah dicipta khusus bagi menangani permukaan bumi yang beralun pada kelajuan tinggi sambil berada di dalam penuh kawalan dan keselesaan. Penyerap (peredam) kejutan Position Sensitive Damping (PSD) menawarkan kuasa redaman yang lebih tinggi pada lambungan penuh untuk kembali kepada keadaan asal bagi membolehkan keupayaan off-road yang lebih baik, dan kuasa redaman lebih rendah pada zon pertengahan perjalanan bagi pemanduan terbaik dalam kelas ketika perjalanan atas jalanan. Tetapan-tetapan tersebut telah ditentu-ukur bagi menawarkan pengalaman terbaik bagi kedua-dua jenis keadaan pemanduan.

Peredam tersebut telah dihasilkan secara ekslusif oleh Fox Racing Show dengan piston 46.6mm di hadapan dan belakang. Direka untuk menahan permukaan off-road, peredam tersebut, apabila digabung dengan suspensi perjalanan jauh, membolehkan prestasi redaman off-road yang tidak ditandingi dan pemanduan atas jalanan yang berasa mewah, hasil teknologi Internal Bypass.

Menghubungkan kedua-dua peredam dan suspensi merupakan lengan atas aluminium paduan dan lengan bawah aluminium acuan bagi memudahkan pergerakan suspensi dengan lebih banyak dan dioptimumkan untuk prestasi dan ketahanan off-road yang ekstrem.


Tawani Laluan Liar
Jika diperhatikan permukaan bumi yang telah mempengaruhi pembangunan Ranger Raptor, ternyata set tayar yang agresif diperlukan bagi menstabilkannya ketika off-road dan sebaliknya. Tayar BF Goodrich 285/70 R17 bagi semua jenis permukaan telah direka khas buat Ranger Raptor. Dengan kehadiran yang tidak dapat diendahkan, setiap tayar mempunyai ukuran diameter sebanyak 838mm dan lebar sebanyak 285mm. Rekaannya menawarkan dinding sisi yang mampu menempuhi semua jenis persekitaran dengan penuh keyakinan, bunga tayar dengan cengkaman yang kuat bagi memanjangkan masa pengembaraan para pemilik tidak kira keadaan jalan, dan corak bunga off-road agresif yang memberi cengkaman dalam keadaan basah, berlumpur, berpasir dan bersalji.

Ranger Raptor turut didatangkan dengan perlindungan underbody yang unik bagi memesongkan halangan off-road. Plat gelincir baru tersebut diperbuat dari besi kekuatan tinggi dengan tebal 2.3mm dan menepati keperluan Ford Performance bagi keupayaan yang dipertingkatkan untuk kekuatan. Pelindung dengan kemasan perak memberi pelepasan kepada kedua-dua cangkuk penyelamat hadapan. Apabila digunakan dengan undershield enjin dan kes pemindahan, ketiga-tiga elemen memberi perlindungan kepada komponen-komponen seperti radiator, Electric Power Assisted Steering (EPAS), Front End Accessory Drive (FEAD), cross-member hadapan, sistem bah enjin dan differential hadapan.


Ditala untuk semua Permukaan
Ranger Raptor didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) yang menawarkan enam mod bagi pelbagai pengalaman pemanduan, yang boleh dipilih menerusi suis lima-butang di roda stereng. Setiap mod telah ditentu-ukur bagi menawarkan gabungan kerjasama teknologi yang terbaik bagi menangani permukaan atau gaya pemanduan pilihan dengan mudah. Ini termasuk:

Mod atas jalanan

  • Mod Normal – Mengutamakan keselesaan, penggunaan bahan api dan pemboleh- manduan 
  • Mod Sport – Lebih bertindak balas untuk pemanduan atas jalanan yang lebih bersemangat. Ini bermakna penukaran gear yang pantas pada kelajuan enjin yang lebih tinggi bagi membantu tindak balas pendikit. Tetapan tersebut bertindak balas kepada peningkatan permintaan dari pemandu dengan menahan sesuatu gear dengan lebih lama dan menukar ke gear rendah dengan lebih agresif.

Mod off-road
  • Mod Rumput/Kerikil/Salji – Direka untuk pemanduan yang selamat dan berkeyakinan di permukaan off-road yang licin dan tidak sekata. Ini dilakukan menerusi penukaran gear yang lebih lancar dan permulaan pada gear kedua, mengurangkan kemungkinan kegelinciran roda. 
  • Mod Lumpur/Pasir – Tindak balas kenderaan ditala untuk cengkaman dan momentum yang optimum di permukaan berubah bentuk yang dalam seperti pasir halus dan lumpur. Ini dilakukan dengan mengekalkan gear rendah dengan tork tinggi. 
  • Mod Batu – Digunakan khusus untuk permukaan berbatu pada kelajuan rendah dimana pengawalan yang lancar adalah penting.
  • Mod Baja – Tindak balas kenderaan ditala untuk prestasi off-road berkelajuan tinggi, sama seperti para pemandu di dalam perlumbaan rally Baja terkenal, Baja Desert Rally. Di dalam mod ini, sistem-sistem kenderaan seperti Traction Control dikurangkan dari segi campur tangan bagi membolehkan pemanduan off-road yang bersemangat tanpa perlu melawan sistem-sistem kenderaan. Pemilihan gear dioptimumkan untuk prestasi maksima, dan tetapan tersebut akan menahan gear untuk lebih lama dan menukar ke gear rendah dengan lebih agresif.

Kuasa untuk Menggerakkan Anda
Sistem penghantaran kuasa Ranger Raptor mengetengahkan teknologi terkini bagi menawarkan lebih banyak kuasa dan tork, penggunaan bahan api yang lebih efisyen, lebih ringan dan dengan penentu-ukuran off-road yang khusus bagi enjin, transmisi, saluran pemanduan, stereng, brek dan sistem Electronic Stability Control (ESC).

Di dalam langkah penuh revolusi untuk menawarkan prestasi dan tindak balas yang menakjubkan, Ranger Raptor menggabungkan sebuah transmisi 10-kelajuan bersama dengan enjin diesel 2.0-liter Bi-Turbo baru untuk kuasa maksima sebanyak 213PS (157Kw) dan tork sebanyak 500Nm.

Para jurutera Ford telah menguji sistem penghantaran kuasa baru tersebut secara meluas bagi membuktikan ketahanannya.

Ujian tersebut termasuk menjalankan ‘kitaran termo’ pada enjin, memanaskan kedua-dua turbo sehingga tahap merah membara selama 200 ribu jam tanpa henti. Ia mampu menahan seksaan tersebut disebabkan oleh penggalas turbo dan turbo tekanan rendah yang disejukkan dengan air bagi mengurangkan suhu, mengelakkan pemanasan berlebihan dan melindungi komponen-komponen induksi udara.

Beroperasi sebagai satu kumpulan, turbo tekanan tinggi yang lebih kecil disambungkan secara berturutan ke turbo tekanan rendah yang lebih besar, dan dikawal oleh injap-injap pintas yang menentukan mod operasi bergantung kepada kelajuan enjin. Pada kelajuan enjin rendah, kedua-dua turbo beroperasi secara bersiri, meningkatkan tork dan ketindak-balasan, manakala pada kelajuan enjin lebih tinggi, turbo tekanan tinggi dipintas, dan turbo tekanan rendah memberi galakan untuk menyalur lebih banyak kuasa.

Transmisi 10-kelajuan yang direka dan dibina Ford dikongsi bersama F-150 Raptor dan telah dihasilkan dari besi kekuatan tinggi, aloi aluminum dan juga komposit untuk mengoptimumkan ketahanan dan berat. Dengan 10 gear, ia bermakna jangka nisbah adalah lebih besar, lalu menghasilkan pecutan dan tindak-balas yang lebih baik. Dengan lebih banyak ruang untuk mengoptimumkan jarak gear, para jurutera mampu mengubah-suai pergerakan gear dengan lebih efisyen berbanding sebelumnya, menawarkan penukaran gear yang lebih tepat dan pantas.

Sistem elektronik serba baru mengetengahkan algoritma penjadualan penukaran bersesuaian dalam masa sebenar yang direka untuk memastikan gear yang betul telah dipilih pada waktu yang bersesuaian. Penentu-ukur transmisi yang unik turut menyertakan fungsi ‘Live in Drive’, bermakna pedal penukaran gear sentiasa bersedia untuk penukaran gear secara manual.


Teknologi Praktikal di Hujung Jari

Ranger Raptor didatangkan dengan beberapa Driver Assist Technologies (DATs) maju yang bukan sahaja canggih, tetapi juga praktikal buat kegunaan seharian.

Menerajui arena perhubungan, SYNC 3 merupakan sistem aktivasi suara berintegrasi penuh yang membolehkan pemandu menggunakan peranti kegemaran mereka semasa tangan mereka di roda stereng dan mata mereka memerhatikan jalan di hadapan. Sistem Navigasi Satelit ternyata berguna ketika memandu di kawasan-kawasan terpencil, dan menawarkan fungsi ‘breadcrumb’ agar anda dapat meninggalkan kesan ketika memasuki kawasan-kawasan yang belum dipetakan – sesuai untuk peneroka yang serius.

Pelbagai ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif telahpun diterapkan dari peringkat awal pembangunan, termasuk Ford Stability Control yang telah dipertingkatkan dengan Roll Mitigation Function.

Sistem Electronic Stability Control (ESC) menyeluruh Ford turut disertakan bagi membantu di dalam situasi-situasi pengambilan selekoh dan brek yang mencabar. Suite teknologi yang mengagumkan ini turut didatangkan dengan Trailer Sway Control (TSC), Hill Start Assist (HSA), Hill Descent Control (HDC) dan Load Adaptive Control (LAC).

Kamera pandang belakang yang dipaparkan pada skrin LCD berwarna lapan-inci dipadankan dengan sensor parkir belakang yang memberikan para pemandu keyakinan untuk meletakkan kenderaan di mana sahaja.

Untuk akses mudah, pintu belakang EZ Lift Tailgate menggunakan pemasangan rod baru bagi mengurangkan daya angkatan awal sebanyak 66 peratus. Intelligent Access, juga dikenali sebagai kemasukan pasif, membenarkan pemilik untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kenderaan tanpa perlu menggunakan kunci. Menggunakan signal frekuensi radio, fob kunci membolehkan pemilik untuk menghidupkan kenderaan dengan hanya menekan sebuah butang, dan mengaktifkan penguncian pusat bagi kesemua pintu. Jika bateri kehabisan tenaga, sebuah kunci bilah mekanikal boleh didapati di dalam rekaan fob tersebut.


Pengalaman Pemanduan yang Menyeronokkan
Mewarisi keupayaan penting dari model Ranger yang berjaya dan melengkapkannya dengan DNA dari F-150 Raptor, Ranger Raptor bersedia untuk menarik perhatian orang ramai di Asia Pasifik dan seluruh dunia.

“Ia menakjubkan untuk membolehkan prestasi pada tahap ini dan menghasilkan sebuah kenderaan yang mampu memberikan para peminat off-road dengan deruan adrenalin,” kata Hameedi.

“Ia memang bagaikan sebuah motosikal motocross, sebuah kereta salji dan sebuah ATV yang telah digabungkan menjadi sebuah trak pikap – ia satu pengalaman yang sangat luar biasa dan hebat!”

Ford Ranger Raptor akan dipasang di Ford Thailand Manufacturing (FTM) menggunakan teknik dan fasiliti pemasangan terkini Ford.


Klik Disini Untuk Mendaftar dan Ketahui Lebih Lanjut Mengenai Ford Ranger Raptor.

Select Language
Ooops!
Generic Popup