Ford Ranger Tawar Rangkaian Kuasa Generasi Baru dengan Transmisi 10-kelajuan, Ciri-ciri Termaju untuk Keupayaan Lebih Hebat
  • Enjin Ranger 2.0L Bi-Turbo generasi baru dengan transmisi automatik 10-kelajuan menawarkan kuasa mencecah 213PS dan 500Nm tork
  • Teknologi yang pertama dan satu-satunya dalam kelasnya, Parkir Selari Separa Automatik (Semi-Automatic Parrallel Parking), Brek Kecemasan Autonomi Inter- Urban (Autonomous Emergency Braking) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki
  • Lengkap dengan Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin (keyless entry and push-start button), Pengangkat Pintu But (Easy Lift Tailgate) serta SYNC® 3 bersama keupayaan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Pengalaman pemilikan luar biasa dengan jaminan selama tiga tahun atau sejauh 100,000km yang mana terdahulu
  • Harga rangkaian model Ranger baharu bermula daripada RM90,888.00

KUALA LUMPUR, Malaysia, 25 Oktober 2018 – Ford Motor Company dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan Ford Ranger baharu – sebuah trak pikap lebih mantap menerusi rangkaian model lebih segar yang menggabungkan teknologi, ciri keselamatan dan kemudahan yang mendahului kelasnya.

Ranger baharu ‘Built Ford Tough’ ini dibina dengan keupayaan mengharung laluan lasak yang sememangnya dapat memenuhi keperluan tugas dan gaya hidup pengguna yang lebih luas.

Rangkaian Ranger baharu di Malaysia melibatkan sembilan varian berbeza iaitu varian XL, XLT, XLT+, Wildtrak baharu dan model paling ditunggu-tunggu, Ranger Raptor. Raptor akan dilancarkan secara rasmi pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018, November depan.

“Dengan pelbagai ciri termaju dan rangkaian kuasa generasi baru yang mampu menawarkan keupayaan lebih hebat, Ranger pasti dapat meningkatkan lagi tarikannya di pasaran yang sudah sedia kukuh,” kata Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, Truong Kim Phong. “Ranger baharu akan terus membantu merevolusikan segmen trak pikap. Kami bangga kerana begitu ramai pelanggan memilih Ford.

“Kami tahu bahawa pelanggan di Malaysia mahukan trak pikap mereka mempunyai kelasakan seperti sebuah trak, di samping keselesaan dan ciri-ciri termaju seperti sebuah kenderaan penumpang. Kami yakin barisan model Ranger baharu dapat menawarkan versatiliti yang luar biasa, membantu mereka mencapai kejayaan yang lebih lagi, sama ada di tempat kerja atau ketika bersama keluarga,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Bin Syed Faiz.

Rangkaian Kuasa Termaju untuk Prestasi Terbaik, Teknologi Canggih
Ford Ranger menawarkan tiga rangkaian kuasa diesel untuk lebih versatil dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Enjin ini termasuklah 2.0L Single-Turbo dan 2.0L Bi-Turbo, selain enjin Duratorq 2.2L.

Enjin diesel generasi baru Ford menggunakan material-material termaju dengan binaan yang sofistikated. Kompak, ringan, berkuasa dan efisien, enjin ini tampil dengan ciri suntikan terus bahan api rel sepunya, satu pancarongga pengambilan dan pacuan talisawat-dalam-minyak utama.

Enjin diesel 2.0L Bi-Turbo generasi baharu dipasang secara eksklusif pada varian Wildtrak 4x4 dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk menawarkan kuasa tork, fleksibiliti, senyap dan pemanduan yang lebih selesa.

Enjin 2.0L Bi-Turbo memanfaatkan pengecasan turbo secara berjujukan untuk menawarkan respon lebih baik, pemanduan dan kecekapan yang maksimum. Sepasang pengecas turbo digunakan untuk prestasi dan kecekapan maksimum. Pengecas turbo geometri boleh ubah diaplikasikan untuk menawarkan maklum balas pendikit yang lebih baik dan menghapuskan jeda dengan cara mengili dengan pantas pada kelajuan rendah. Unit kedua ialah pengecas turbo geometri tetap dengan kapasiti laluan lebih tinggi untuk menjana kuasa dan prestasi maksimum.

Dengan kuasa tork 500Nm dari serendah 1,750rpm, enjin Bi-Turbo menawarkan julat tork yang lebih baik menerusi kotak gear 10-kelajuan nisbah pendek. Ia mengurangkan jurang kuasa dan pecutan untuk membuatkan usaha mendaki laluan bukit yang curam dan licin dengan lebih mudah.

Model Wildtrak yang didatangkan dengan pilihan enjin baharu tetap mampu menawarkan keupayaan mengangkut beban dan menunda sehingga 3,500kg yang terbaik dalam kelasnya.

Enjin turbo tunggal 2.0L boleh didapati pada varian Wildtrak 4x2 dan Ranger XLT+ baharu. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan termaju Ford untuk menawarkan kuasa 180PS dan tork 420Nm yang mengagumkan.

Varian XL dan XLT menggunakan enjin turbodiesel 2.2L yang menawarkan kuasa 160PS/385Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi manual dan automatik enam kelajuan.

Lebih Lasak, Pintar
Ciri Bantuan Pra Pelanggaran Ford yang menggunakan Sistem Brek Kecemasan Autonomi Inter Urban (Autonomous Emergency Braking) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki ada dipasang pada Ranger baharu. Sistem yang direka untuk mengesan pejalan kaki dan kenderaan serta memastikan Ranger berhenti sepenuhnya demi membantu mengelak pelanggaran dari arah belakang dan pejalan kaki. Sistem ini berfungsi pada kelajuan 3.6km/j ke atas.

Ciri pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap, Amaran dan Bantuan Keluar Laluan (Lane Departure Warning & Assist), Kawalan Meluncur Bolehsuai (Adaptive Cruise Control) dan Amaran Pelanggaran Depan (Forward Collision Warning) terus ditawarkan pada Ranger baharu. Ciri Parkir Selari Separa Automatik (Semi-Automatic Parrallel Parking) Ford yang pertama dalam segmennya kini dipasang pada varian Wildtrak 4x4. Pemandu hanya perlu menukar gear dan menekan brek, sistem kemudian akan membawa Ranger masuk ke dalam ruang parkir secara automatik.

Urusan memunggah barang kini menjadi lebih mudah dengan varian Wildtrak dan XLT+ menerusi pengenalan ciri Pengangkat Pintu But (Easy Lift Tailgate) yang pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap. Dengan mekanisma dalaman baharu, pintu belakang Ranger kini lebih ringan untuk diangkat dan kurang 70 peratus tenaga diperlukan untuk menutupnya. Sistem ini bukan sahaja tidak memerlukan banyak tenaga untuk diangkat, malah lebih mudah untuk diturunkan.

Ranger juga telah menambah ciri Stereng bantuan Kuasa Elektrik (Electric Power Assisted Steering) yang ringan dan lincah ke atas varian asas XL – sekali gus menjadikannya model pertama dalam segmen trak pikap yang menawarkan ciri ini sebagai standard pada semua model. Ia memberi lebih keupayaan kepada trak ini dalam memenuhi keperluan harian di tapak-tapak pembinaan dan ladang tanaman di seluruh negara.

Wajah Ranger yang Segar
Penampilan Ranger baharu yang rugged dan menarik menyaksikan perubahan dari segi gayaan mantap di atas laluan lasak serta tarikan visual model sedia ada. Ia tampil dengan rekaan gril baharu lebih bersih yang diserlahkan melalui reka bentuk tersendiri. Rekaan bahagian bawah bamper kini dilengkapi corong pengambilan udara lebih besar untuk penampilan yang lebih seimbang. Varian Ranger Wildtrak dan XLT+ dipasang dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu utama jenis HID untuk suluhan cahaya yang lebih terang. Varian-varian Wildtrak juga dipasang dengan lampu kabus LED di hadapan.

“Satu rekaan yang berjaya perlu mampu menyerlahkan gayanya dengan sekali pandang sahaja,” kata Pengarah Reka Bentuk Ford Asia-Pasifik, Todd Willing. “Dengan reputasi Ranger yang terkenal sebagai sebuah kenderaan yang berkeupayaan tinggi dan cukup versatil, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menghasilkan satu reka bentuk yang menyerlahkan sifat-sifat ini dengan jelas melalui gabungan penampilan yang menarik.”

Secara visualnya, perbezaan di antara model-model kini lebih ketara. Ia dapat dlihat pada kemasan pada bamper dan warna yang menunjukkan karekter unik setiap model – sama ada varian Ranger XL yang lasak atau Wildtrak yang mampu pergi ke mana-mana sahaja. Kemasan krom pada Ranger XLT dan kemasan Monument pada Ranger Wildtrak menjelaskan posisi unik setiap model dalam rangkaian Ranger. Warna utama Saber yang baru misalnya eksklusif untuk varian Wildtrak sahaja. Warna oren bersama kemasan perak nyata kontras dengan gril berwarna kelabu gelap. Bar sports dan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci pada Wildtrak juga membezakannya daripada varian-varian lain.

Misi Kawalan
Ranger kini dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin (keyless entry and push-start button) pada varian XLT+ dan Wildtrak.

Ruang kabinnya didatangkan dengan pelbagai bentuk penambahbaikan untuk membantu memenuhi keperluan sepanjang minggu bekerja, hujung minggu, perjalanan yang panjang dan cabaran di laluan lasak. Dengan kemasan permukaan sentuhan yang lasak dan tahan lama, ruang dalaman Ranger yang luas itu mengguna tona berwarna hitam. Elemen kemasan kontras seperti krom dan jahitan benang berwarna perak memberikan ruang ini rasa yang lebih premium.

SYNC® 3 pada varian Ranger XLT+ dan Wildtrak adalah serasi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut hadir dengan ciri Bluetooth dan skrin sentuh warna sepenuhnya bersaiz 8-inci. Varian Wildtrak juga dilengkapi sistem navigasi satelit binaan dalam yang penting apabila Ranger berada di luar kawasan liputan telefon bimbit.

Selesa di atas jalan raya, meneroka laluan mencabar
Suspensi Ranger baharu telah dinaik taraf untuk meningkatkan aspek kawalan olengan, seterusnya menambah baik pengalaman memandu apabila membawa beban yang penuh dan menunda.

Pakej baru juga membolehkan aspek geometri diubah untuk memperbaiki pemanduan, mengurangkan olengan badan dan menambah baik ketepatan stereng. Perubahan suspensi bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap keupayaan menunda dan mengangkut beban Ranger yang mendahului kelasnya.

“Kami telah menambah baik maklum balas Ranger apabila membawa beban, menunda bot atau ketika membawa sebuah karavan ke seluruh negara,” kata Ketua Jurutera Program Ranger, John Willems. “Ranger kini lebih seronok dipandu apabila digunakan sepenuhnya. Ia lebih mudah dikendalikan, jadi anda boleh memanfaatkan keupayaan mengangkut beban dan menundanya yang sebenar. Ia juga membantu mengurangkan keletihan dalam perjalanan yang jauh.”

Harga, Warna dan Servis
Varian Ranger baharu ditawarkan pada harga berikut:
  • Wildtrak – dua varian, bermula RM134,888.00
  • XLT+ – satu varian, bermula RM124,888.00
  • XLT – dua varian, bermula RM109,888.00
  • XL – tiga varian, bermula RM90,888.00

Ranger didatangkan dalam lapan warna menarik. Ini termasuklah tiga warna baharu: Saber (Wildtrak sahaja), warna biru Magnetic dan Biru Cerah (Lightning), selain warna Putih Segar (Cool White), kelabu Meteor (Meteor Grey), Aluminium Metallik, Putih Segar (Frozen White) dan Hitam Pekat (Absolute Black).

Sebagai tawaran untuk yang terawal, seramai 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu bakal menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000. Tawaran ini berakhir apabila pendaftaran yang ke-888 diterima atau pada 31 Disember 2018, mana-mana tiba dahulu1. Selain itu, Sime Darby Auto Connexion akan menawarkan penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau sehingga 40,000km, yang mana terdahulu kepada pelanggan Ranger yang berjaya mendaftar sebelum 31 Januari 20191.

Nota : 1 Tertakluk kepada terma dan syarat.
Select Language
Ooops!
Generic Popup