Ford Kembangkan Matlamat Perubahan Iklim, Tetapkan Sasaran Menjadi Neutral Karbon Pada 2050: Laporan Kelestarian Tahunan
  • Sebagai sebahagian daripada Laporan Tahunan Kelestarian ke-21, Ford mengumumkan perancangannya ke arah neutral karbon pada 2050, mengembangkan komitmennya untuk mengurangkan emisi selaras dengan Perjanjian Iklim Paris.

  • Untuk mencapai matlamat itu, Ford akan fokus terhadap tiga bahagian penyebab hampir 95 peratus emisi CO2 – penggunaan kenderaan, sumber-sumber bekalan dan kilang-kilang.

  • Ford telah melabur lebih $11.5 billion untuk kenderaan elektrik, termasuk versi sifar-emisi untuk beberapa model yang popular, temasuk Mustang Mach-E, Transit Commercial EV dan F-150 elektrik yang akan muncul pada pertengahan 2022, dan Ford juga berada di landasan menuju ke arah menjanakan kesemua kilang pengeluaran dengan 100 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharu keluaran tempatan menjelang tahun 2035.

  • Ford merupakan satu-satunya pembuat kereta Amerika yang sejajar dengan Perjanjian Paris dengan memberi komitmen untuk emisi CO2 yang rendah

KUALA LUMPUR, Malaysia, 13 Julai 2020 - Sebagai sebahagian daripada Laporan KelestarianTahunan ke-21, Ford Motor Company mengumumkan hasratnya untuk mencapai tahap neutral karbon sejagat selewat-lewatnya pada 2050, dan dalam waktu yang sama mensasarkan untuk menangani masalah perubahan iklim.

Keneutralan karbon merujuk kepada mencapai sifar emisi karbon dengan menyeimbangkan pengeluaran dan pembuangan. Untuk mencapai matlamatnya, Ford akan memfokuskan kepada tiga bahagian yang mempunyai jumlah pelepasan CO2 pada kadar sekitar 95 peratus - penggunaan kenderaan, sumber-sumper bekalan dan kilang-kilang.

Syarikat juga sedang mengusahakan satu inisiatif yang diluluskan oleh Science Based Target untuk emisi-emisi atau pelepasan gas-gas Skop 1, Skop 2 dan Skop 3. Skop 1 meliputi emisi secara langsung dari sumber-sumber yang yang dimiliki atau dikawal oleh Ford sementara Skop 2 merangkumi emisi dari tenaga elektrik, wasap, pemanasan dan penyejukan yang digunakan oleh syarikat. Emisi Skop 3 pula meliputi emisi akibat dari penggunaan kenderaan-kenderaan Ford yang dijual.

Ford mengembangkan strategi pemulihan iklim pada 2019 dengan merangka lebih banyak kaedah efektif untuk menyatukan kehendak dan keperluan orang ramai, kemampuan teknologi dan keperluan kejayaan perniagaan dengan pendekatan rekaan yang mementingkan kemanusian. Pasukan dari pelbagai bidang dari seluruh dunia termasuk A.S, Eropah dan China membangunkan pendekatan neutral karbon untuk syarikat, menganalisa informasi alam sekitar, para pelanggan, teknologi, perundangan, tenaga, pendekatan saingan, penilaian kitaran hidup dan kecenderungan-kecenderungan lain.

Matlamat ini tidak dapat lari dari cabaran-cabaran luar termasuk penerimaan pelanggan, peraturan badan berkuasa, keadaan ekonomi dan ketersediaan sumber boleh diperbaharu, tenaga elektrik neutral karbon dan bahan api boleh diperbaharu. Namun mengatasi cabaran perubahan iklim merupakan tanggung jawab dan strategi utama Ford. Ini termasuk membantu menghadkan peningkatan suhu sejagat selaras dengan Perjanjian Paris. Ford merupakan satu-satunya pembuat kereta Amerika yang sepakat dengan Perjanjian Paris dalam mengurangkan pengeluaran CO2.

“Kami percaya bahawa menghasilkan kenderaan yang hebat dan mengekalkan perusahaan kukuh tidak seharusnya mengorbankan usaha memelihara planet kita, kata Bob Holycross, Naib Presiden, Ketua Kelestarian Alam Sekitar dan Keselamatan. “Kami sedar bahawa untuk mecapai dunia neutral karbon menjelang tahun 2050 merupakan cabaran yang amat besar, dan kami tidak ada semua jawapannya sekarang, tapi kami mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk berusaha bersama rakan niaga dan pemegang saham kami untuk mencapainya.”

Mindy Lubber, CEO dan Presiden Ceres, sebuah organisasi bukan untung untuk kelestarian memuji matlamat jangka panjang Ford dan menyeru agar syarikat-syarikat lain mengikuti jejak Ford.

“Sekalung tahniah untuk Ford di atas komitmenya untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050, katanya. “Ford menyedari kepentingan menangani krisis perubahan iklim, dan kami menyeru agar syarikat lain juga turut bertindak dan berusaha mencari cara saintifik melalui perusahaan mereka.”

Ford telah melabur lebih dari $11.5 billion dalam kenderaan elektrik, memperkenalkan versi emisi-sifar bagi beberapa model popular, termasuk Mustang Mach-E, Transit Commercial EV F-150 elektrik menjelang pertengahan 2022.

Syarikat sebelum ini telah mengumumkan rancangannya untuk menggunakan 100 peratus tenaga tempatan yang boleh diperbaharui bagi kesemua kilang-kilangnya di seluruh dunia menjelang tahun 2035, bermakna sumber tenaga adalah hasil dari sumber alam yang tidak akan habis – seperti tenaga hidro, geoterma atau angin dan solar.

Sorotan Penting Laporan
Selain daripada perihal matlamat dan kemajuan neutral karbon yang berlaku, laporan kelestarian tersebut juga membawakan sorotan penting berkenaan usaha-usaha kemampanan yang dilakukan oleh syarikat di serata dunia termasuk.

COVID-19: Memastikan Keselamatan Semua
Kesihatan dan keselamatan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan Ford, dan wabak COVID-19 merupakan satu cabaran kepada syarikat dari pelbagai segi. Ford telah bertindak pantas dengan menutup bahagian pengeluaran, menggunakan teknologi bagi membolehkan kakitangan bekerja dari jarak jauh dan melaksanakan program-program bagi membantu rakan-rakan sekerja dari segi kesihatan fizikal, mental dan emosi.

Syarikat menggunakan kepakaran dalam rekaan, kemampuan pengilangan dan alat ganti kenderaaan bagi membantu menghasilkan ventilator, respirator dan kelengkapan perlindungan diri. Buku garis panduan kembali bekerja untuk China, Eropah dan A.S yang menggariskan panduan keselamatan dan peranan turut diedarkan ke rantau lain sebaik sahaja operasi dimulakan semula.

Pengelektrikan
Tahun 2019 merupakan tahun yang mengujakan apabila strategi pengelektrikan Ford mula dijalankan, Ford memperkenalkan Mustang Mach-E, sebuah Mustang SUV serba elektrik yang akan hadir pada penghujung 2020, yang bakal mencapai jarak anggaran EPA sejauh 300 batu bagi sekali pengecasan. Mustang Mach E adalah kenderaan serba baharu dan meggunakan elektrik sepenuhnya dan ia sebahagian daripada pelaburan sebanyak $11.5 bilion untuk teknologi pengelektrikan sehingga tahun 2022.

Ford memberikan sedikit pendedahan tentang Mustang Mach -E dengan mengumumkan rangkaian pengecas awam terbesar di Amerika Utara iaitu FordPass Charging Network, dengan lebih 13,500 stesen pengecas dengan anggaran sebanyak 40,000 plag pengecas. Pengumuman tersebut memberi laluan kepada kenderaan serba elekrik F-150 dan Transit, menggiatkan komitmen Ford dalam mengelektrifikasikan model-model popularnya dengan memperkuatkan lagi ciri-ciri yang diingini oleh para pelanggan seperti prestasi, kemampuan dan keselesaan.

Ekonomi Kitaran
Mengetahui nilai bagi aliran proses bahan buangan dan pengitaran semula merupakan fokus utama Ford sejak lebih sedekad. Menyokong kitaran ekonomi merupakan perkara penting apabila Ford mengumumkan kolaborasi bersama McDonald’s A.S pada 2019 untuk menggunakan sisa serbuk kopi, bahan buangan yang terhasil dari kopi McDonald’s dan menukarkannya menjadi alat ganti kenderaan. Inovasi mampan ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan petroleum malah membuatkan komponen yang terhasil menjadi 20 peratus lebih ringan dan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 25 peratus semasa proses pengacuan.

Menukarkan aliran bahan buangan menjadi biobahan untuk alat ganti kenderaan Ford adalah sesuatu yang yang telah diterokai dan dilaksanakan oleh pasukan penyelidik Ford sejak bertahun-tahun. Bermula pada 2007, Ford memperkenalkan busa soya sebagai alternatif kepada gabus tempat duduk berasaskan petroleum untuk Mustang. Sejak itu, syarikat telah menggiatkan penggunaan busa soya untuk setiap barisan kenderaan di Amerika Utara – melibatkan lebih 25 juta kenderaan, mengekang ratusan juta paun karbon dioksida dari memasuki ruang atmosfera.

Kepelbagaian dan Penyertaan
Sebagai meneruskan komitmen Ford terhadap kepelbagaian dan penyertaan, Ford telah menandatangani Women’s Empowerment Principles oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari 2020, muncul di Bloomberg Gender-Equality Index untuk dua tahun berturut-turut dan memperolehi markah penuh 100 untuk 2019 Disability Equality Index®.

Laporan tersebut turut mengetengahkan isu ketidakadilan sosial yang memerlukan tindakan segera dari masyarakat dan organisasi-organisasi. Tidak dinafikan bahawa cabaran ini begitu ketara di dalam komuniti Afrika-Amerika. Ford menyaksikan jurang ini di kalangan rakan-rakan sepasukan yang terkesan dengan COVID-19, dan legasi jurang ekonomi di bandar Ford iaitu Detroit. Tidak ada penyelesain mudah untuk isu yang telah ada sejak sekian lama itu. Namun begitu Ford komited dalam mendengar, belajar dan turut mencari penyelesaian bagi membina syarikat yang lebih baik.

Untuk kajian penuh Laporan KelestarianTahunan, sila klik di sini.

Select Language
Ooops!
Generic Popup