Program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat Ford Beri Latihan Kepada Pemandu di Malaysia agar Kekal Selamat

  • Rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu menerima latihan di dalam kelas dan praktikal secara percuma, sebagai sebahagian daripada program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat (DSFL) Ford 
  • DSFL merupakan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) utama Ford yang dibiayai oleh Ford Motor Company Fund – satu badan bantuan di bawah Ford Motor Company 

KUALA LUMPUR, Malaysia, 20 Disember 2018 – Ford dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) baru-baru ini menganjurkan program latihan pemanduan selamat buat kali ketiga pada tahun ini yang melibatkan rakan korporat dan orang awam menerusi program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat (DSFL) Global Ford.

Sesi latihan tersebut diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), melibatkan lebih 60 orang pemandu yang sudah mempunyai lesen memandu. Terdiri daripada rakan-rakan korporat, mereka mengambil bahagian dalam bengkel yang berlangsung selama dua hari setengah.

Program Kemahiran Pemanduan Sepanjang Hayat Ford bertujuan mendidik pemandu yang sudah mempunyai lesen memandu dari semua peringkat umur tentang bagaimana untuk memandu dengan selamat, melalui sesi latihan praktikal dan pengalaman secara langsung yang ditawarkan secara percuma. Ini akan membantu mereka menjadi pemandu yang lebih selamat dan peka.

Bengkel DSFL mendedahkan pelbagai risiko yang perlu dihadapi oleh pemandu seperti keadaan yang tidak dijangka, kelajuan dan pengurusan ruang. Di samping meningkatkan kesedaran tentang pemanduan yang terganggu kerana penggunaan telefon bimbit atau rasa mengantuk.

“Ford komited untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan mendidik pemandu dengan amalan serta teknik pemanduan yang selamat. Kami berbangga kerana dapat meneruskan program yang sangat praktikal ini di Malaysia demi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjadi pemandu yang selamat,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

Penekanan terhadap bahaya memandu di bawah pengaruh minuman keras atau ubat juga dimasukkan ke dalam setiap sesi latihan. Ini termasuklah dengan meminta peserta memakai pelindung mata direka khas yang membantu mensimulasi pengalaman memandu ketika pergerakan, koordinasi dan kepekaan adalah terbatas.

Di Asia Ford DSFL sudah dijalankan dengan jayanya selama 11 tahun dalam melatih pemandu berlesen dari semua peringkat umur. Selain Malaysia, latihan DSFL turut ditawarkan di China, Kemboja, India, Myanmar, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Select Language
Ooops!
Generic Popup