SDAC-Ford Lancar Limited Edition Ford Ranger Splash - Eksklusif Untuk Festival Beli Belah 11.11 Lazada
  • Trak pikap pertama di dalam negara akan dijual melalui sistem e-dagang, hanya 19 unit Limited Edition Ford Ranger Splash.

  • Trak pikap Limited Edition Ford Ranger Splash dilengkapi dengan penambahbaikan untuk meningkatkan imej sporti kenderaan gaya hidupnya.

KUALA LUMPUR, Malaysia, 24 Oktober 2019 - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia hari ini melancarkan Limited Edition Ford Ranger Splash. Pelancaran ini dilakukan bersempena dengan Festival Beli-Belah Lazada 11.11 yang bakal menjelang.

Ford Ranger Splash ini didatangkan dalam warna hitam dan dilengkapi dengan bar kangaroo hitam legap, gril hadapan istimewa, penutup cermin sisi, bamper belakang, sports bar, roda aloi dan dapra lebar. Untuk kemudahan dan keselamatan pemanduan, Ranger Splash itu turut dipasang dengan sistem bayaran tol elektronik dan sistem kamera 360-darjah. Pelekat logo "Ranger Splash" dengan warna fluorescent terang melengkapi sisi trak pikap tersebut untuk menghasilkan rekabentuk yang agresif, sesuai dengan tema edisi terhadnya.

Trak pikap sporti Limited Edition Ford Ranger Splash bakal menjadi trak pikap pertama di dalam negara yang akan dijual hanya melalui platform e-dagang. Model tersebut akan dipamerkan di bilik pameran Ford Petaling Jaya 2, Sime Darby Auto ConneXion - satu-satunya lokasi di mana ia ada dipamerkan sebelum ia dijual.

Bersempena dengan tahun 2019, hanya 19 unit trak pikap akan dikeluarkan dan kesemuanya akan dijual secara eksklusif melalui platform e-dagang Lazada pada 11 November 2019 semasa Lazada 11.11 Shopping Festival. Limited Edition Ford Ranger Splash tersebut dijual dengan harga RM138,888 dan boleh ditempah awal melalui fungsi Chup Dulu dalam aplikasi Lazada.

Para pelanggan hanya perlu membayar yuran tempahan berjumlah RM1,389 untuk menempah unit mereka.  Bermula 28 Oktober hingga 10 November, para pembeli boleh “Chup” unit Limited Edition Ford Ranger Splash mereka dengan membayar 10% deposit yang tidak dikembalikan (RM139) melalui aplikasi Lazada*. Baki yuran tempahan sebanyak RM1,250 pula dibayar pada 11 November 2019 untuk mengesahkan tempahan. Yuran tempahan hanya boleh dikembalikan sekiranya bayaran penuh yuran tersebut telah dibuat dan kesemua 19 unit trak telah ditempah*.  Wakil Ford akan menghubungi para pembeli untuk menyelesaikan urusan pembelian Limited Edition Ford Ranger Splash mereka di mana-mana bilik pameran yang dikehendaki. 11 pelanggan pertama yang berjaya menyelesaikan pembelian mereka akan menerima PETRONAS Gift Card bernilai RM500 semasa penghantaran kenderaan*.

"Cara pembelian oleh pengguna sudah bertukar secara dramatik dalam beberapa tahun yang sudah. E-dagang semakin sebati dengan kehidupan seharian pembeli sehinggakan mereka boleh membeli kenderaan secara atas talian. Kolaborasi ini menawarkan model Limited Edition Ford Ranger Splash untuk dijual di atas platform e-dagang oleh Lazada memberikan kami lebih peluang untuk berhubung dengan pemandu-pemandu generasi baharu secara digital," terang Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion.

"Kami akan terus mencari cara-cara baharu dalam mengubah dan memberikan pengalaman pembelian unik untuk para pelanggan. Nantikan pengalaman pembelian menarik baharu yang akan diperkenalkan pada masa terdekat selari dengan cogankata kami, ‘Go Further’,” sambung Muzri.

“Kolaborasi ini mencerminkan kedudukan Lazada sebagai platform gaya hidup yang dipercayai oleh jenama serta pengguna. Ia membolehkan Ford memperluas jangkauan mereka melalui pengkalan data pengguna kami yang berani untuk mengamalkan gaya hidup menerusi kemudahan digital. Sambil terus mempelopori cara rakyat Malaysia berbelanja, kami juga sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman baru dan pilihan produk-produk yang lebih meluas untuk memenuhi kehendak para pelanggan kami,” kata Leo Chow, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia.

Untuk memberikan prestasi yang baik, Ranger Splash berkuasa enjin diesel 2.0L Single-Turbo dan dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan automatik. Ranger Splash mampu menghasilkan 180 PS dan daya kilas setinggi 420 Nm.

Ford turut memastikan Ranger Splash diberikan ciri-ciri keselamatan pintar dan praktikal. Malah, antara ciri-ciri tersebut ialah yang pertama boleh didapati di dalam sebuah trak pikap. Kelengkapan seperti Pengangkat Bintu But (Easy Lift Tailgate), sistem masuk tanpa kunci dan butang Start enjin, stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS) dan lampu DRL jenis LED digabungkan dengan lampu hadapan jenis HID menjadikan Ranger Splash lebih mesra pengguna dan tidak lari dari pemanduan berteknologi tinggi.

Sistem infotainment atau hiburan berinformasi Ranger Splash ini merangkumi skrin sesentuh 8-inci yang menggunakan sistem operasi SYNC 3 yang mampu berhubung dengan applikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga mempunyai ciri perhubungan Bluetooth, membolehkan anda menggunakan telefon pintar anda agar perjalanan lebih selesa.

Ford Ranger Splash sebenarnya bukanlah varian yang baharu bagi pasaran Malaysia. Ia pernah diperkenalkan oleh Ford pada penghujung tahun 1990-an dan Ranger Splash memulakan budaya trak pikap gaya hidup di kalangan pengguna tempatan. Pada masa itu, trak pikap masih dilihat sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna untuk komersil, Ford mengambil langkah berani dengan memberikan lebih fokus kepada alatan keselamatan dan keselesaan. Untuk menjadikan Ranger sebagai sebuah alternatif kepada versatiliti dan kebolehan sebuah kereta, Ford menghasilkan varian Splash pada masa itu - varian pertama dalam warna kuning dan sekarang varian terkini dalam warna serba hitam.

Ford Ranger Splash kembali hadir dengan versi yang lebih matang dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan dan kemudahan agar ia terus memegang takhta gelaran trak pikap gaya hidup.

Trak pikap Limited Edition Ford Ranger Splash didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau sehingga 100,000 km, yang mana dahulu dan lima tahun penyeleggaraan percuma atau sehingga 100,000 km, yang mana dahulu.

* Nota editor: Harga atas jalan, tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia sahaja.
* Tertakluk kepada terma dan syarat.

Select Language
Ooops!
Generic Popup