Ford Ranger FX4 Baharu Akan Dilancarkan Secara Langsung di Atas Talian Melalui YouTube dan Facebook Live Pada 3 Jun 2020
  • Pelancaran akan disiarkan secara langsung melalui YouTube dan Facebook Live, menjadikan ia trak pikap pertama yang dilancarkan secara serentak.
  • Ranger FX4 kembali membawakan ciri-ciri lasak dengan peningkatan yang ketara -termasuk aksesori-aksesori FX4 yang eksklusif.
  • 150 pelanggan pertama di seluruh negara yang membeli Ford Ranger FX4 Baharu akan menerima aksesori eksklusif bernilai RM5,398 – pelanggan boleh menempah melalui Jurujual Digital dengan menghubungi talian WhatsApp Chat di +6019-204 1200.

KUALA LUMPUR, Malaysia, 19 Mei 2020 - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran Ford Ranger FX4 Baharu yang dijadualkan berlangsung pada 3 Jun 2020 jam 11 pagi. Pelancaran tersebut akan disiarkan secara langsung melalui YouTube dan Facebook Live. Ini menjadikan Ford Ranger sebagai trak pikap pertama dilancarkan secara serentak melalui kedua-dua platform tersebut.

“Dengan norma baharu yang kita amalkan kini, kami turut mempraktikkan cara baharu dalam memberikan keseronokan kepada para pelanggan, lantas menjadi trak pikap pertama di negara ini yang dilancarkan secara langsung dalam talian dan serentak melalui Facebook LIVE dan YouTube,” kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion.

Ford Ranger FX4 dihasilkan untuk para pelanggan yang suka menikmati pengembaraan hidup bersama trak mereka. Trak ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri unik dan baharu yang dapat dilihat hanya dengan sekilas pandang. Bentuk luaran yang lasak dan mantap ini turut diselarikan hingga ke kabin bagi menyesuaikan gaya hidup pemiliknya yang lasak dan suka akan cabaran.

Sinonim dengan ‘Built Ford Tough’, Ranger FX4 ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi pintar serta ciri-ciri keselamatan yang ada pada kenderaan Ranger yang sedia ada, termasuk 4X4 Shift-On-The-Fly, bilah pengelap dengan pengesan hujan, sistem stereng berkuasa EPAS (Electric Power Assisted Steering) yang ringan dan lincah, lampu Daytime Running Lights (DRL) dan lampu hadapan untuk penglihatan lebih terang. Ia turut dilengkapi dengan dua beg udara, Limited Slip Differential , fungsi Kawalan Menuruni Bukit (Hill Descent Control), Bantuan Permulaan di Bukit (Hill Launch Assist), Sistem Cegah Brek Terkunci (ABS) dengan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) dan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, Kawalan Stabiliti Elektronik dengan Kawalan Cengkaman, ‘Rollover Mitigation’, Kawalan Ayunan Treler dan Kawalan Adaptif untuk Beban.

Bagi meraikan pelancaran tersebut, 150 pelanggan pertama yang membeli Ford Ranger FX4 Baharu ini akan menerima pakej aksesori percuma bernilai RM5,398 seperti berikut:

  • Bar sporti berwarna hitam dan pelekat cermin gelap eksekutif.
  • Perakam Video Digital (DVR) yang dilengkapi dengan fungsi pintar dan selamat termasuk rakaman berdefinisi tinggi (HD), pandangan sudut lebar, rakaman waktu malam dan aplikasi mudah alih yang disambung melalui Hotspot berserta kad memori 8GB.

Para pelanggan yang ingin membuat tempahan awal sebelum pelancaran bagi mendapatkan pakej aksesori percuma ini boleh menghubungi Jurujual Digital di talian +6019-204 1200 bermula jam 9 pagi – 4 petang pada hari Isnin – Jumaat, kecuali pada cuti umum. Melalui talian WhatsApp khusus ini, para pelanggan dapat dihubungkan kepada jurujual berdaftar Ford di agen pengedar yang terdekat. Ini membolehkan pelanggan melakukan transaksi mengikut keselesaan mereka dan membuat bayaran deposit di mana sahaja mereka berada.

“Untuk para pelanggan yang melawat bilik-bilik pameran dan pusat servis kami di seluruh negara, kami mengalu-alukan kedatangan anda di mana segala langkah pengawasan yang telah digariskan oleh pihak berkuasa telah kami ambil dalam memastikan kesihatan dan keselamatan para pelanggan dan kakitangan kami. Ini termasuk mengamalkan penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, menyediakan cecair sanitasi tangan di sekitar kawasan selain daripada melakukan sanitasi di bahagian-bahagian yang kerap disentuh di sekitar premis, termasuk kenderaan yang sedang diselenggara dan dipamer,” ujar Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Jualan dan Edaran Malaysia, Sime Darby Motors.

Saksikan pelancaran ini secara siaran langsung melalui YouTube dan Facebook Live bersama pakar kami dan beliau akan membawa kita melihat ciri-ciri yang telah dipertingkatkan serta kemampuan yang dimiliki oleh Ford Ranger FX4 Baharu ini pada 3 Jun 2020 jam 11 pagi.

Select Language
Ooops!
Generic Popup