Daripada Bahan Terbuang kepada Kegunaan Kenderaan; Ford Kitar Semula 1.2 Bilion Botol Plastik Setiap Tahun menjadi Alat Ganti
  • Memandangkan hampir keseluruhan plastik tidak dikitar semula hingga menyebabkan penduduk dan kerajaan di seluruh dunia terpaksa menggandakan usaha untuk mengurangkan penggunaannya, Ford mempertingkatkan penggunaan botol plastik yang dikitar semula menjadi alat ganti kenderaan
  • Syarikat ini kini meneruskan usaha murni mengitar semula botol plastik, menjadi pelindung bahagian bawah kereta, trak dan SUV – sehingga 250 botol bagi setiap kenderaan
  • Botol kitar semula digunakan untuk menghasilkan alat ganti yang membantu meningkatkan aerodinamik kenderaan dan mengurangkan bunyi dalam kabin


DEARBORN, Mich., 31 Mei, 2019 – Apabila anda mengitar semula botol plastik, tahukah anda di mana plastik tersebut berakhir? Sebahagian besarnya, pada kenderaan Ford.

Ford Motor Company memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan alat ganti kenderaan yang mesra alam. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan botol plastik kitar semula untuk pelindung bahagian bawah kereta dan SUV, dan pelapik roda pada trak F-Series.

“Pelindung bawah badan besar saiznya. Sekiranya kami menggunakan plastik padu, beratnya akan menjadi tiga kali ganda,” kata Thomas Sweder, jurutera reka bentuk Ford Motor Company. “Kami berusaha mendapatkan bahan paling tahan lasak dan berprestasi tinggi untuk menghasilkan alat ganti kami, dan pada masa yang sama turut memberi pelbagai manfaat kepada alam sekitar.”

Pada tahun 2006, Ford menjadi pembuat kenderaan pertama yang menggunakan plastik kitar semula untuk pelapik roda pada model Fiesta Eropah. Sejak 12 tahun kebelakangan ini, peningkatan ciri aerodinamik membawa kepada keperluan pelapik bawah badan. Penggunaan plastik pada alat ganti sebegini menjadi meluas di peringkat global dan meningkat dengan pesat. Ford menggunakan kira-kira 1.2 bilion botol plastik kitar semula setiap tahun – secara purata sehingga 250 botol bagi setiap kenderaan.

Prosesnya seperti berikut: apabila botol plastik dibuang ke dalam tong kitar semula, ia dikumpul dan dicincang halus. Ia dijual pula kepada pembekal yang mencairkannya menjadi serat. Seterusnya, serat tersebut dicampurkan dengan pelbagai jenis serat lain menerusi proses tekstil dan digunakan untuk membuat lapisan bahan dan dibentuk menjadi alat ganti kenderaan.

Memandangkan plastik kitar semula adalah ringan, ia sesuai untuk kegunaan pelindung bawah badan, pelindung bawah enjin serta pelapik roda hadapan dan belakang yang dapat membantu meningkatkan aspek aerodinamik kenderaan. Pelindung ini turut membantu mewujudkan persekitaran lebih senyap pada Ford Escape 2020 serba baru.

Penggunaan plastik kitar semula pada alat ganti kenderaan dapat membantu mengurangkan jumlah plastik yang boleh membawa kepada situasi memudaratkan seperti pusaran Pasifik – longgokan plastik terapung di Lautan Pasifik yang lebih luas daripada negara Mexico.

“Ford menjadi salah satu peneraju penggunaan bahan kitar semula seperti ini. Kami melakukannya kerana ia bukan sahaja bermanfaat dalam aspek alam sekitar, malah juga dari segi teknikal dan ekonomi,” kata Sweder. “Bahan ini memenuhi kesemua spesifikasi ketat kami terhadap ketahanan dan prestasi.”


Select Language
Ooops!
Generic Popup