Enjin Diesel Bi-Turbo Ford dan Transmisi 10-Kelajuan: Satu Gabungan Kuasa, Tiga Personaliti
KUALA LUMPUR, Malaysia, 01 Februari 2019 –  Kepuasan jelas terpancar dari muka kedua-dua jurutera Ford, Anthony Hall dan Rob Sharples yang menguji trak pikap Ranger Raptor ke tahap maksimum di sebuah litar tertutup.

Pasukan duo itu berpuas-hati dengan integrasi antara enjin diesel Bi-Turbo dan transmisi 10-kelajuan, gabungan kuasa yang digunakan oleh varian-varian Ranger dan Everest.

“Sungguh hebat,” kata Hall.

“Kami memandu di beberapa laluan ekstrem dengan kelajuan yang tinggi namun keupayaan enjin dan transmisi itu sangat mengagumkan. Belum ada yang seumpama ini!"

Apa yang dikatakan oleh Hall itu memang tepat kerana Ranger Raptor telah menghasilkan satu kelas kenderaan baharu yang bakal menjadi ikutan.

Walaupun sebahagian besar keupayaan ini datang dari kerangka dan sistem gantungan Raptor yang diketahui kehebatannya, gabungan kuasa yang digunakan itu perlu diletakkan di dalam barisan varian Ranger dan Everest yang lain.

"Enjin diesel Bi-Turbo dan tansmisi automatik 10-kelajuan itu memiliki pelbagai personaliti,” terang Hall.

"Mod pemanduan pada Raptor mempengaruhi kuasa dan tahap daya kilas. Anda dapat memandu dengan lasak pada kelajuan yang tinggi. Di dalam Everest pula, terasa seperti memandu kereta, santai, sofistikated dan sangat ekonomikal. Di dalam Ranger pula ia adalah kenderaan kerja yang yang memiliki kemampuan pemanduan lasak."

Enjin diesel 2.0 liter Bi-Turbo dan transmisi automatik 10-kelajuan memang telah terbukti prestasinya. Transmisi yang sama juga digunakan oleh model ikonik seperti trak pikap F-150 Raptor dan kereta prestasi tinggi Mustang.

Transmisi itu telah menjalani ujian ekstrem dan nyata sejauh lebih setengah juta kilometer.

Gabungan transmisi dengan enjin diesel Bi-Turbo yang dihasilkan di UK itu kemudiannya melalui ujian putaran termo yang amat mencabar.

Hasil dari padanan kedua-dua elemen kejuruteraan ini memberikan hasil yang menakjubkan kepada platform Ranger yang sangat lincah itu.

Rob Sharples, Ketua Jurutera Gabungan Kuasa Ford berkata integrasi enjin/transmisi dengan sistem elektronik sofistikated berjaya menghasilkan gabungan tenaga yang sesuai di mana sahaja - samada berlumba di tengah padang pasir, memandu di tengah kota ataupun untuk menunda sebuah trailer.

"Enjin diesel Bi-Turbo dan transmisi 10-kelajuan ini akan sentiasa memberikan hantaran tenaga dan daya kilas."

"Bergantung kepada cara pemanduan anda, sistem komputernya akan menggunakan kesemua 10 nisbah yang ada untuk memberikan penjimatan bahan api yang paling maksimum."

"Namun begitu, jika anda memandu dengan agresif, sistem transmisi akan melompat nisbah-nisbah untuk daya pecutan maksimum. Ini dibuktikan dengan tenaga pada Ranger, prestasi pada Raptor dan keselesaan pada Everest."

"Gabungan kuasa ini memang istimewa dan menakjubkan untuk dipandu!" terang Sharples.

Kesemua itu dipersetujui oleh Anthiny Hall. Beliau berkongsi beberapa fakta-fakta menarik mengenai gabungan kuasa enjin/tranmisi tersebut:
  • Tenaga maksimum 157kW
  • Daya kilas maksimum 500 Nm
  • Daya tunda 3.5 tan - terbaik di dalam kelas untuk Ranger dan Everest
  • Penggunaan bahanapi 6.9 liter/100 km - terbaik di dalam Everest
  • Had meredah air sedalam 850 mm untuk Raptor

Walaupun angka-angka tersebut mengujakan, Hall berkata gabungan kuasa pada Ranger/Raptor/Everest ini perlu dipandu sendiri untuk benar-benar menghargainya.

"Selagi anda tidak memandu enjin diesel Bi-Turbo dengan transmisi 10-kelajuan, kesemua fakta itu cuma angka di atas sekeping kertas."

"Pengalaman memandunya adalah fasa seterusnya di dalam teknologi enjin dan gabungan kuasa. Ia memang benar-benar mengujakan untuk dipandu!"


Select Language
Ooops!
Generic Popup