Kekal positif dalam kereta
KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 Jun 2018 - Dalam kesesakan trafik, pasangan anda membuat keputusan mengambil jalan “pintas” pulang ke rumah tetapi tersilap jalan. Anda menjerit “Alamak, orang nak cepat jadi makin lambat!” Anak-anak yang bertali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang mula menangis. Gangguan-gangguan sebegini boleh mendorong pemandu hilang fokus dan memandu secara melulu di jalan raya.

Gangguan semasa memandu sentiasa dialami di seluruh dunia, kebanyakannya melibatkan pemandu dan telefon bimbit. Namun salah satu gangguan yang utama sebenarnya berada beberapa inci daripada pemandu – penumpang! Ramai penumpang tidak sedar yang mereka boleh mempengaruhi pemandu, tetapi kajian mendapati perlakuan mereka juga penting, seperti mana pemandu, dalam menentukan keselamatan perjalanan.

Bagaimana penumpang mempengaruhi pemandu
Kajian awal mendapati pemandu yang membawa penumpang lebih terdedah kepada kemungkinan pelanggaran sebanyak 60% berbanding memandu sendirian. Penumpang mempengaruhi tingkah laku pemandu – baik positif atau negatif – bergantung pada beberapa faktor seperti usia penumpang, pertalian antara pemandu dan penumpang serta perbezaan jantina.

Contohnya, walaupun rata-rata pemandu wanita lebih berhemat ketika memandu, kehadiran penumpang lelaki boleh menambah kemungkinan wanita memandu secara bahaya berbanding jika penumpangnya wanita. Begitu juga semasa bersama penumpang, kebanyakan pemandu cenderung untuk lebih santai. Ini menjejaskan tumpuan dan respons mereka terhadap bahaya.

“Sebagai penumpang, anda sebenarnya boleh mempengaruhi pemandu,” ujar Syed Ahmad Muzri bin Syed Faiz, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto Connexion. “Demi keselamatan semua, elakkan perkara-perkara yang boleh mengganggu tumpuan pemandu, malah bantulah pemandu untuk sentiasa fokus.”

Bagaimana menjadi penumpang yang baik
Penumpang boleh menceriakan perjalanan – mereka boleh jadi pembantu, menjadi rakan yang tenang atau memberi pengaruh buruk. Ini ialah lima cara menjadi penumpang yang baik:
1. Jadilah teman pemandu
Mainkan peranan aktif dalam perjalanan seperti memandu arah, menjawab telefon, memberi isyarat bahaya dan menemani pemandu.

2. Jangan ganggu pemandu
Jika anda mahukan pemandu kekal fokus, mainkan peranan anda dengan mengurangkan gangguan. Jangan berbual dengan kuat melalui telefon, menukar saluran radio atau merungut dengan cara pemanduannya.

3. Jangan tidur
Penumpang yang tidur boleh mendorong pemandu tertidur akhirnya. Jika perlu, bergilirlah memandu untuk perjalanan yang jauh supaya semua boleh menghilangkan rasa mengantuk.
4. Pastikan keselamatan kanak-kanak
Jangan hilang kawalan. Sediakan snek, buku atau apa jua yang boleh membuat kanak-kanak sibuk. “Kargo paling bernilai” – semua penumpang anda – perlu dilindungi dengang tali pinggang keselamatan dan kerusi yang sesuai dengan usia demi meminimumkan gangguan dan memaksimumkan keselamatan.

5. Teguran
Anda berhak untuk menegur pemandu jika merasakan cara pemanduan mereka cuai dan berbahaya atau mereka melakukan perkara-perkara berisiko.

Anda seharusnya mengambil tanggungjawab membantu pemandu bukannya memberi masalah dalam perjalanan. Lain kali ingatlah, jika pemandu tersilap membelok, jangan dimarahi sebaliknya tegurlah dengan sopan dan sabar, menggunakan bahasa yang manis didengar.
Select Language
Ooops!
Generic Popup