Layan Lagu Kuat-Kuat? Kunyah Gula-Gula Tanpa Henti? Jom Ketahui Cara yang Betul Untuk Kekal Steady Ketika Memandu
KUALA LUMPUR, Malaysia, 18 Oktober 2018 - Pasang air-con maksimum, turunkan tingkap sampai habis dan layan lagu kegemaran sepenuh perasaan, berikut adalah antara ‘aktiviti’ yang pemandu lakukan untuk cuba kekal steady sepanjang pemanduan. Namun, tak semuanya berhasil. Malah, boleh menimbulkan masalah lain pula. Dalam satu kajian, apabila pemandu muda memainkan lagu kegemaran ketika memandu, akan ada banyak lagi kesilapan yang boleh berlaku, mereka memandu lebih agresif dan kurang beri perhatian pada persekitaran. Dan faham-faham sajalah kesan pengambilan gula - setiap yang manis itu akan menjadikan kita terlebih ceria juga menghasilkan tenaga yang “luar kawalan”.

Walaupun begitu, pemandu juga tidak digalakkan untuk terus matikan radio atau menahan lapar sepanjang perjalanan. Berikut adalah strategi untuk anda terus nikmati pemanduan dan paling penting, kekal selamat sepanjang perjalanan.

Ritma Si Jantung Hati
Ini bukan sekadar tajuk lagu popular dendangan Ukays tetapi ada maklumat penting yang perlu anda tahu. Rentak muzik yang terbaik adalah yang selari dengan degupan jantung manusia iaitu 60-80 degupan setiap minit. Jika muzik itu terlalu laju atau kuat, pemandu selalunya akan memandu lebih agresif. Jika muzik terlalu sentimental, pemandu rasa tak bermaya pula. Jadi, pilihlah senarai lagu yang menghiburkan dan tetapkan bunyinya pada tahap yang bersesuaian. Ini kerana pilihan senarai lagu yang tepat mampu membantu tenangkan pemandu, legakan tekanan dan tingkatkan tumpuan.

“Ford Motor Company juga telah menghasilkan teknologi seperti Amaran Rempuhan Depan dan Kawalan Jelajah Mudah Suai, untuk membantu pemandu kekal selamat dan kurangkan tekanan ketika pemanduan,” kata Scott Li, jurutera DAT & keselamatan aktif, Ford Research & Engineering Center. “Dan walaupun teknologi ini amat membantu terutamanya di dalam situasi di luar jangkaan, ia masih memerlukan kepekaan dan tumpuan ketika memandu.”

Jangan Sampai Situasi Jadi “Luar Kawalan”

Kekal terhidrat sepanjang pemanduan. Minum air secukupnya, juga kopi atau teh sekali-sekala, bukan hanya membantu pemandu kekal steady, malah boleh menjadikan pemandu kerap berhenti untuk ke tandas. Inilah peluang untuk rehat sebentar dan legakan kelesuan ketika memandu. Elakkan makan gula-gula dan makanan segera yang boleh menjadi punca badan kita jadi “luar kawalan”. Oh, jangan lupa juga untuk berhenti mengunyah snek di dalam kereta ya. Ini kerana data hasil penyelidikan Ford menunjukkan bahawa multitugas seperti makan sambil pandu, meningkatkan risiko kemalangan. Lebih menarik, polis di Chongqing, China pernah ‘menghangatkan’ perjalanan para pemandu dengan memberi cili padi kering secara percuma di stesen minyak untuk membantu pemandu kekal steady sepanjang pemanduan.

Baik Lelap daripada “Lenyap” / Lelap Sebentar Sebelum “Lenyap”
Pemandu trak yang memandu jarak jauh, pekerja syif, ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan remaja adalah berisiko untuk mengantuk ketika memandu.

“Antara tanda-tanda bahawa anda terlalu letih untuk memandu adalah seperti kelopak mata mula rasa berat, kerap menguap, sukar fokus, tidak ingat di mana lokasi walaupun baru beberapa kilometer melepasinya, terlepas penanda jalan atau selekoh, sukar kekalkan kelajuan dan memandu di luar laluan,” kata Dr. Guanghai Wan, pakar perubatan mengenai psikologi dan tidur, dan profesor madya di Pusat Perubatan Kanak-Kanak Shanghai. “Jika anda merancang untuk memandu jarak jauh dan tahu anda pasti akan letih, adalah lebih baik anda gunakan khidmat pemandu upahan atau pemandu gantian daripada memandu dalam keadaan mengantuk.”

Strategi untuk kembali bertenaga adalah:

  • Lakukan regangan untuk legakan otot-otot yang sakit dan leti
  • Urut “titik tekanan” seperti di bahagian pelipis dan belakang telinga agar anda lebih tumpukan perhatian dan lega daripada ketegangan.
  • Lakukan senaman ringan seperti lompat bintang atau lari setempat, untuk tingkatkan tenaga.

Untuk keletihan melampau, berhenti seketika atau tidur di lokasi yang selamat. Cuma anda mungkin akan rasa pening atau mamai bila bangun nanti. Tak mengapa, segarkan diri kembali dengan menghirup secawan teh atau kopi.

Untuk hebahan berita, bahan berkaitan juga gambar dan video beresolusi tinggi, layari www.media.ford.com.

Select Language
Ooops!
Generic Popup